Berdamai dengan Takdir
BERDAMAILAH DENGAN TAKDIR
Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini:
”Ya Allah janganlah Engkau
serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”
Mengapa?
kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya
bersandarkan kekuatan diri.
Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar
serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi.
Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit.
Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa.
Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir.
Kita tidak menerima
warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya.
Persoalan kenapa?
Mengapa? Sering menghantui jiwa.
Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam.
Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning,
dikurangkan warna jingga.”
Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang.
Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja. Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas
kehidupan kita.
Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua.
Namun, setelah berusaha dan bersusah payah Semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran.
Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah.
Apapun nantinya hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang
baik.”
Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak
dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan.
Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian
dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku…
Namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan Kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah.
DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya.
Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah Kasih
SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya.
Yang pahit itu akan menjadi ubat.
Yang pedih itu akan menjadi penawar.
Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan?
Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak akan mengecewakan.
Love your Self ♥️
Salam sayang dari Kak Tipah💕
Jemput baca nukilan sahabat saya. ,Mardhiah
Comments
Post a Comment